CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS

Sunday, March 15, 2009

Selamatkan Palestin

Kekejaman puak zionis terhadap masyarakat Islam Palestin tidak pernah reda.
Dalam kes terbaru, Israel melancarkan serangan roket yang mengorbankan
sekurang-kurangnya tujuh rakyat Palestin termasuk kanak-kanak berusia
sebulan. Biarpun, dari segi geografinya kita dan Palestin agak jauh namun
sebagai saudara seIslam, kita sewajarnya turut mengambil berat serta
membantu mereka.

Ini sebagaimana firman Allah: “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah
bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu dan bertakwalah
kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat
“. (al-Hujurat: 10)

Kepada wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto HAYAT SUEET, Pengarah
Pusat Kecemerlangan Palestin (PACE), Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd. Noor
membincangkan isu ini.

Apakah keadaan terkini umat Islam di Palestin?

DR. HAFIDZI: Sebenarnya situasi di Gaza tidak banyak berubah dalam tempoh satu dua bulan ini. Malah, ia semakin gawat sebenarnya. Cuma kalau kita mahu gambaran sebenar kita tidak boleh bergantung kepada
media antarabangsa Barat. Sebabnya mereka lebih diselubungi isu lain terutama pemilihan Presiden Amerika Syarikat (AS).

Di Malaysia pula, kita juga lebih tertumpu kepada kempen Pilihan Raya Umum ke-12. Saya ada mendapat maklumat terkini daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Azzaituna Institute yang beribu pejabat di Beirut. Pertubuhan ini
menangani isu Palestin dan juga nasib pelarian. Daripada mereka gambaran di Palestin adalah seperti berikut:

Tiada lagi transaksi masuk atau keluar bekalan makanan, kecuali yang sangat asas dan itu pun sangat minimum dan sebahagian besarnya adalah melalui agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB). Sebagai gambaran, suri rumah di
Semenanjung Gaza hanya membelanjakan 10 peratus daripada perbelanjaan mereka
sebelum ini. Contohnya, kalau sebelum ini suri rumah membelanjakan RM100
seminggu, kini mereka hanya belanja RM10 seminggu.

Israel juga menyekat bekalan klorin yang mana sebelum ini sudah pun berhadapan dengan krisis air. Klorin ini digunakan untuk merawat air minuman kerana ia membunuh bakteria. Apabila Israel sebelum ini menyekat bekalan minyak, telaga-telaga air di Palestin sudah tidak boleh digunakan kerana telaga ini menggunakan pam yang memerlukan tenaga elektrik untuk berfungsi. Dilaporkan kira-kira satu pertiga (1/3) daripada pam tidak berfungsi bermakna 1/3 daripada penduduk Palestin tidak dapat bekalan air bersih.

Dari segi kesihatan, setakat Januari lalu 75 pesakit mati akibat peralatan hospital tidak berfungsi. Alat-alat seperti bantuan pernafasan, mesin hemodialisis dan inkubator semuanya tidak berfungsi kerana ketiadaan bekalan
elektrik.

Penduduk Gaza juga berhadapan dengan serangan roket Israel setiap hari. Disebabkan peralatan hospital banyak yang tidak berfungsi, sudah tentulah mereka yang cedera tidak akan dapat rawatan yang sewajarnya.

Bilangan pengangguran di Palestin kini mencecah 50 peratus setakat Januari lalu. Sebabnya kilang-kilang perusahaan tidak dapat beroperasi. Apabila tidak bekerja, maka sudah tentu tidak dapat menyediakan keperluan asas keluarga.

Situasi ini diburukkan lagi apabila pada 20 Januari lalu, Israel menyekat bekalan minyak. Natijahnya, hampir seluruh Gaza bergelap. Stesen janakuasasedia ada hanya mampu bekalkan elektrik ke 1/3 kawasan Gaza. Selebihnya dibekalkan oleh Israel sebelum ini.

Melihatkan kepada perbuatan zalim dan ganas Israel seolah-olah tiada
berakhirnya penderitaan rakyat Palestin. Jadi apakah penyelesaian dalam hal
ini?

DR. HAFIDZI: Kita perlu kembali kepada asas isu. Siapakah yang menceroboh,
lakukan penjajahan dan melanggar hak asasi manusia. Jawapannya, tidak syak
lagi yang berada di pihak yang salah ialah Israel.
Jadi, kalau nak selesai Israel kena berundur dari wilayah yang ditaklukinya
iaitu Tebing Barat, Semenanjung Gaza dan Baitul Maqdis Timur. Memang ini pun
Resolusi 242 yang dibuat di PBB pada 1967.
Pada tahun 2005, Israel berundur dari Gaza dan memindahkan semua pendatang
haram Israel. Namun, pada masa yang sama, rejim zionis itu melakukan sekatan
udara, laut dan darat. Dengan kata lain, Gaza masih terus terjajah.
Apabila isu ini tidak mendapat pembelaan masyarakat antarabangsa, sudah
tentulah rakyat Palestin perlu membela diri sendiri. Ini adalah tindakan
semula jadi manusia.

Para pejuang Palestin menyerang sebab mahu mempertahankan diri dan
melepaskan daripada kepungan.

Bagaimanapun, media antarabangsa Barat pula sering melabelkan serangan itu
sebagai kumpulan pengganas. Apakah kesannya dalam jangka panjang?

DR. HAFIDZI: Kadang-kadang media Barat dan masyarakat antarabangsa tidak
adil menilai situasi di Gaza. Mereka lebih banyak menguar-uarkan serangan
oleh pejuang Palestin tetapi tidak kaitkan langsung serangan Israel ke atas
penduduk Palestin.
Apalah sangat kesan serangan pejuang Palestin yang hanya guna roket buatan
sendiri berbanding Israel yang menggunakan segala kekuatan tentera baik
kereta kebal, serangan udara dan juga meriam.

Roket pejuang Palestin ini jarang mengenai sasaran dan boleh dibilang rakyat
Israel yang cedera atau terkorban disebabkannya. Dalam tempoh dua tahun ini,
tidak sampai 10 rakyat Israel yang terbunuh.
Walhal setiap kali serangan Israel membunuh 10 ke 20 penduduk Palestin.
Malah, kanak-kanak kecil dan wanita kerap menjadi mangsa kekejaman zionis.
Apa pula tindakan negara-negara Arab dalam hal ini?

DR. HAFIDZI: Saya suka membahagikan isu ini kepada dua iaitu pemimpin Arab
dan masyarakat Arab.
Rakyat Arab memang amat prihatin terhadap apa yang berlaku di Gaza. Antara
sebab ia masih bertahan sehingga kini ialah bantuan daripada masyarakat Arab
dan saudara yang berdekatan.
Sebagai contoh, apabila Israel menyekat bekalan ubat-ubatan, Persatuan
Doktor di Mesir mengumpulkan 5 juta pound membeli bekalan ubat-ubatan untuk
dihantar ke Gaza.
Pergerakan Ikhwan Muslimin pula bersetuju mengetepikan 25 peratus pendapatan
mereka untuk disalurkan kepada rakyat Palestin.
Cuma masalahnya ialah para pemimpin Arab. Untuk menyelesaikan isu serantau
begini ia perlukan campur tangan rasmi kerajaan. Dan di sinilah para
pemimpin Arab gagal.
Sebabnya, pemimpin yang ada itu tunduk kepada kehendak dasar luar AS atas
kepentingan peribadi atau politik. Negara-negara Arab kini setidak-tidaknya
sudah ada hubungan dagang dengan Israel menyebabkan mereka tidak bersungguh
dalam isu Palestin.
Mereka lebih pentingkan hubungan dagang itu dan bimbang jika cuba ‘khianati’
syarat damai sebelum ini, mereka mungkin dikenakan tindakan oleh AS.
Contohnya, apabila Tembok Rafah diletupkan oleh rakyat Palestin untuk
mendapatkan bekalan makanan di Mesir, ia ditutup semula atas desakan Israel.
Alasan Israel, supaya Palestin tidak diceroboh oleh kumpulan pengganas.
Kerajaan Mesir nampaknya tunduk kepada Israel mengatasi tanggungjawabnya
kepada penduduk Gaza.

Apakah nasib perjanjian damai yang kononnya mahu dimuktamadkan sebelum
Presiden Bush tamatkan penggalnya tahun 2009?

DR. HAFIDZI: Memang Bush sudah beberapa kali cuba mencari jalan damai dalam
isu ini. Bukan beliau sahaja, malah ia dilakukan oleh semua presiden AS
sebelum ini. Mereka cuba mencipta nama dengan wujudkan usaha damai di Asia
Barat tetapi semuanya gagal.
Sebab utama kegagalan ialah Israel sendiri yang tidak bersungguh-sungguh
sejak tahun 1948 lagi. Hamas yang muncul pada 1987 hanya dijadikan alasan
untuk tidak mahu berdamai. Apa yang mereka mahukan ialah penjajahan yang
berkekalan.

Apakah peranan yang boleh dimainkan oleh Malaysia dalam isu ini?

DR. HAFIDZI: Kita berada dalam kedudukan yang baik untuk membantu sebagai
Pengerusi Persidangan Negara-negara Islam (OIC).
Sewajarnya, usaha menjuarai isu ini di peringkat antarabangsa sehingga ke
PBB dilakukan. Ruang ini belum kita terokai dengan baik.
Kita masih ada ruang menghulurkan pelbagai bantuan. Beberapa NGO seperti
Aman Palestin, Jamaah Islah Malaysia dan PACE adalah antara yang aktif
menggerakkan kesedaran masyarakat dalam isu ini.
Media juga diharap membantu mengetengahkan isu ini untuk elak rakyat
beranggapan isu ini dah reda. Hakikatnya, keadaan makin tenat.
Kita sememangnya telah, sedang dan akan bantu Palestin. Yang penting jangan
putus asa.

Ingatlah sabda Rasulullah s.a.w, Seorang Muslim itu adalah
bersaudara dengan muslim yang lain. Dia tidak boleh menganiayanya dan tidak
boleh menyerahkannya (kepada musuhnya). (Muttafak alaihi)


0 comments: